Perbualan Mak Mak di Pejabat

Saya selalu seronok nak dengar perbualan mak mak yang anaknya sudah memasuki alam persekolahan dan dah dewasa. Maklumlah anak masih kecil lagi, so bila dengar bolehlah nak cedok ilmu sikit. Tak salahkan.

Tahun lepas (kuat sungguh ingatanku ini), ada seorang ibu kat pejabat meceritakan dia bersusah payah upah tutor datang rumah, ajar anak sulungnya belajar tengah malam (sepatutnya anak diberi tidur awal, bagus untuk perkembangan mereka) demi memastikan anaknya lulus dengan cemerlang dalam UPSR sebabnya dia nak hantar anaknya masuk ke sekolah agama berprestasi cemerlang di salah satu negeri di Malaysia. Bagi merealisasikan impiannya, dia akan pastikan anaknya buat segala latihan. Tekanan demi tekanan dibuat dan akhir keputusan UPSR keluar. Keputusan tidak begitu yang dia harapkan iaitu 3A. Bagi saya sudah cukup bagus sebab maklumlah anak lelaki mana betah nak baca buku lama-lama. Ibu ni punyalah risau takut anaknya tidak dapat masuk ke sekolah itu, namun rezeki sudah dicatatkan, anaknya berjaya masuk ke sekolah yang ibu ini idamkan.

Bermula dari awal tahun saya dengar dia bercerita mengenai anaknya yang selalu telefon mengatakan tak seronok sekolah dan bla bla bla (seperti biasa). Pernah saya tercakap "kenapa dipaksa anak itu?" dan ibu itu diam.

Sehinggalah sehari selepas Aidiladha, dia bercerita anaknya mengadu dia tak boleh nak bawa subjek yang banyak di dalam kelas. Anak dia bercerita yang kawan-kawannya semua sudah hafal banyak surah tetapi dia masih jauh ketinggalan.. dan ibu  tu mengeluh risau. Dia cakap dia masukkan anak itu ke sekolah itu sebab dia mahu anaknya cemerlang dan boleh memimpin keluarga. Tahu berdikari. Faham kehidupan dan masa belajar dah diaturkan maka anak dapat peluang cerah.

Saya taknak persoalkan cara ibubapa mendidik anak kerana setiap ibubapa ada cara yang tersendiri untuk membentuk anak mereka. Cuma saya terfikir adakah cemerlang seorang anak itu diukur dari segi akademik sahaja? Bukan sahsiah. Adakah dengan memasukkan anak ke sekolah bagus maka secara automatik anak itu akan jadi bagus? Saya terfikir-fikir dan bertanya pada diri sendiri. Adakah itu trend sekarang cara mendidik anak? Atau saya memang sudah ketinggalan. Tidak memahami prinsip sekarang yang semua memandang pada akademik. Bukankah pelajaran yang baik adalah pelajaran yang diambil dari rumah? Saya tidak pasti anak saya bagaimana nanti. Cuma saya teringat kata-kata mama saya "budak kalau dah pandai, campak memana pun dia akan pandai".

Hanya coretan sahaja yang terlintas di fikiran dan masih menanti jawapan. Saya makin gerun melihat ibubapa sekarang atau adakah kalau saya tidak mendidik anak begitu, anak saya akan ketinggalan jauh daripada anak-anak yang lain. Patutlah tadika sekarang mahal, mungkin disebabkan ini. 

Luahan hati seorang ibu.

Popular posts from this blog

Hot Spring Water Park Pedas, Negeri Sembilan

Mengunyah Keropok Lekor & Meratah Sata di Kemaman

Kelantan : Maggi Tiram Pok Weil