Pengalaman Pregnant dan Bersalin di Labuan

Masa pindah ke Labuan,  usia kandungan dah 5 bulan.  Masa tahu kena pindah ke Labuan,  terus pergi checkup dekat klinik kesihatan kerajaan.  Sebab?  Di Labuan hanya mempunyai 1 hospital iaitu Hospital Nukleus Labuan (hospital kerajaan).  Maka haruslah segera pergi buka buku. 

Di sini checkup di Klinik Desa. Alhamdulillah memang layanan terbaik di klinik berhampiran rumah saya.  Jururawat memang peramah,  mudah mesra dan yang paling best kau tanyalah apa soalan pun,  memang dia boleh jawab dan berikan info paling 'the best'.  Kan saya dah kata,  orang di sini memang peramah.  Dah jadi kawan dah sampailah sekarang.  Ketua jururawat pun best.  Bila dia tahu je kita datang dari semenanjung,  terus tanya macam-macam.  Rasa dah macam kawan lama lak. Cuma di sini,  bila nak ambil darah,  minum air gula dan jenis high risk kena buat di Klinik Kesihatan Membedai (satu satunya klinik kerajaan)  dan pastinya ramai orang.  Nasib jururawat jenis cekap,  laju je buat kerja.  Tak adalah rasa lama sangat.  Saya cuma dua kali kena datang ke Klinik Kesihatan Membedai untuk ambil darah sebab problem Hb tak naik-naik dan minum air gula.  Lain, semua buat di Klinik Desa. 

Cuma bila kena scan biasa kena pergi ke Klinik Desa lain yang mempunyai khidmat scanner dan doktor.  Dan selalunya tempat ini akan penuh dengan manusia juga.  Maka bertabahlah.  Hye,  klinik kerajaan kan memang ramai orang. Maka datanglah seawal mungkin untuk elak terlalu lama duduk menunggu. Tapi yang bagusnya,  doctor memang secara terperinci bagi satu satu info kat kita.  Mungkin sebab itu masa menunggu agak lama. 

Bagi minggu yang terakhir,  disebabkan saya pregnant kali ni tak ada apa-apa masalah,  alhamdulillah tak ada penyakit dan benda yang merisaukan. Masa 35 minggu,  scan baby alhamdulillah dah pusing ke bawah dan terletak betul.  Anak pertama dan kedua anak saya lahir pada 36minggu ye dan saya memang jangkakan kali ini anak nombor 3 pun akan lahir 36minggu. 3hari lagi 36minggu,buat pemeriksaan di Hospital Nukleus Labuan jumpa doktor dan scan lagi sekali.  Buat pengetahuan,  kalau nak bersalin di sini tidak memerlukan booking. Jumpa doktor di hospital untuk last checkup, benda yang paling mengejutkan ialah tetiba baby pusing sekali lagi.  Maka keadaan baby adalah songsang.  Rasa nak menangis,  sah sah la akan bersalin melalui pembedahan. Doktor cakap disebabkan air ketuban banyak,  maka baby bebas bergerak.  Tu yang menyebabkan dia berpusing kembali.  Takpelah anak,  asalkan semuanya sihat dan sempurna.

Maka bila dah genap 36minggu 4 hari,  malam tu dah start sakit. Tapi kali ini pelik,  air ketuban tak pecah dan darah pun tak keluar.  Tapi memang sakit setiap setengah jam kemudian berkurang jadi 10minit sekali.  Tapi tahanlah. Tahan sebab nak bersalin pagi esoknya. Senang nak urus anak-anak.  Bila keesokkan harinya selepas hantar anak sekolah,  terus ke bahagian kecemasan hospital terus kena tolak.  Doktor sekali lagi scan,  dan mengesahkan baby masih songsang maka jawabnya ke OT la (operation theater). Disebabkan baby songsang,  emergency ceaser,  maka saya masuk dewan bedah tepat jam 830pagi. Sebelum masuk doktor pakar anesthesiologi/pakar bius terus cakap prosedur,  masa tu memang lah tak dengar sangat,  main angguk je kepala tanda setuju. Sebab dah sakit sangat. 

Jam 912pagi,  alhamdulillah semua nya selamat. Sempat tengok jam kat dinding bila doktor cakap baby selamat dikeluarkan.  Maklumlah bius separuh badan je.  Terasa bahagian bawah di godek godek jelah.  Tapi masa tu pelik sebab tak dengar suara menangis baby.  Terus saya ditolak masuk ke wad semula.Pertama kali merasa bersalin,  wad penuh maka tak boleh pilih wad.  Takpelah janji selesa. 

Alhamdulillah kali ni memang tak sakit.  Walaupun ceaser,  tapi tak sakit.  Boleh bangun,  duduk seperti biasa.  Pesakit disebelah saya menangis,  dia cakap sakit selepas ceaser. Suami dia datang sampai tengah malam. Kesian saya tengok.  Oh ye hari pertama,  baby saya di wad NICU sebab masa lahir dia tidak menangis.  Maka malam tu saya seoranglah di katil.  Saya perhati sahaja patient di wad.  Lagi seorang patient memang saya rasa ibu paling kuat.  Anak dia meragam sepanjang malam.  Menangis tak henti-henti sampai jururawat bagi kelonggaran suami dia teman.  Yelah,  mahu boleh meroyan.  Penat tak dapat tidur lagi. Keletihan selepas bersalin pun tak habis lagi. Bagus jururawat bagi kelonggaran,  sebab isteri ni selepas bersalin memang banyak memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami.

Paling kelakar,  rupanya bila bersalin di hospital kerajaan di Labuan ni kena bawa cawan atau mug sendiri. Bawa termos sendiri (anak sulung dan kedua bersalin di hospital swasta). Tapi jangan risau kalau tak ada,  mereka akan sediakan.  Sebab semua pesakit kat wad saya bawa cawan dan termos masing-masing.  Saya je terpinga-pinga tak tahu. Hari pertama,  alhamdulillah dapat rehat secukupnya cuma masa tu tak ada khabar berita mengenai baby.  Pelik sangat.  Tanya doktor,  doktor siap cakap "mereka tak beritahu awak ke? ". Masa tu risau.  Terbayang bayang keadaan di wad NICU.  Berat baby pun saya tak tahu.  Petang tu bila suami melawat,  barulah tahu serba sikit sebab dia datang ke NICU (Neonatal Intensive Care Unit) untuk azankan baby. Bila tanya berapa berat baby,  encik suami senyum siap cakap "surprise".

Keesokkan harinya, doktor datang barulah dapat info lagi. Cakap baby saya dalam keadaan baik.  Cuma kena tahan sebab tidak menangis masa keluar.  Tapi paling mengejutkan doktor cakap baby berat 3.5kg. Besarnya baby saya. Maka tengah hari tu,  jalan perlahan - lahan ke NICU.  Bila tengok memang terkejut.  Dengan mata sepet,  besar lagi.  Sihat.  Maka malam itu,  saya dapat tidur dengan baby.  Double yeayyy.

Hari ke 3 alhamdulillah boleh balik.  Semua dalam keadaan yang memuaskan.Tapi selepas bersalin bermula lah episod paling meletihkan.  Sebab apa?  Sebab selama lebih 3minggu lebih kena ambil suntikan heparin 2x sehari,  lepas tu kena periksa tahap kuning baby di Klinik Kesihatan sampailah paras kuning turun menjadi 85. Memang letih.  Dengan tak cukup tidur sebab menyusu baby, lepas tu ke hulu dan ke hilir bawa baby.  Memang menangislah hari-hari. Letih sangat. Saya tak boleh bayangkan jika ibu yang tidak mempunyai kereta, yang menggunakan bas sebagai pengangkutan.  Memang ada ye.  Bila berbual dengan ibu-ibu di bilik menyusu di klinik semua cakap keletihan.  Macam tak ada rehat. Ada ibu tu terpaksa ulang alik menaiki bas dari Lubuk Temiang bawa baby ke klinik.  Alhamdullah atas segala nikmat yang Allah berikan.  Allah tidak akan uji umatnya jika umatnya tidak mampu.  Allah Maha Penyayang.

Minggu pertama itu,  jururawat klinik desa akan datang rumah untuk buat pemeriksaan. Dia bagi macam-macam nasihat dan kongsi pengalaman.  Siap bagi nombor telefon tukang urut yang terbaik di Labuan. Sehinggalah dua minggu mereka datang menjenguk saya. Seminggu selepas bersalin,  ada appointment doktor di hospital.  Alhamdulillah semuanya baik.

Itu pengalaman saya bersalin di Hospital Labuan.  Di sini ada juga klinik swasta yang menjalankan pemeriksaan untuk ibu mengandung.  Dan ada pilihan jika nak bersalin di hospital swasta tapi di Kota Kinabalu. Doktor pakar daripada hospital swasta Kota Kinabalu akan datang sebulan sekali ke klinik itu.  Tapi disebabkan saya tiada perancangan untuk bersalin di Kota Kinabalu,  maka saya pilih hospital Labuan.  Mungkin akan datang, saya nak merasa juga pengalaman bersalin di Kota Kinabalu, jika saya masih di sini. Mana tahu Allah bagi rezeki lebih.  Aamin.

Popular posts from this blog

Hot Spring Water Park Pedas, Negeri Sembilan

Mengunyah Keropok Lekor & Meratah Sata di Kemaman

Kelantan : Maggi Tiram Pok Weil